Assalamualaikum,
Bagi mereka yang telah membaca buku “Mudahnya Menjemput Rezeki”
tulisan saudara Fathuri Salehuddin, sudah tentunya mahu memiliki buku
keduanya iaitu “Allah Tempat Meminta” (ATM). Alhamdulillah, saya juga
telah berjaya mengkhatamkan buku ini pada bulan lepas. Buku ini
menghimpunkan 40 kisah pengalaman pembaca buku MMR dan artis / penulis
yang saya kagumi juga ada menyumbangkan perkongsian pengalaman mereka
dalam meminta pertolongan Allah dan meletakkan pergantungan hanya kepada
Allah semata-mata.
Jika anda masih belum membaca buku ini, pastikan anda membeli dulu
tisu muka kerana saya pasti airmata anda akan mengalir setiapkali
terbaca kisah-kisah yang menyentuh hati. Kadang-kadang kisah mereka
begitu dekat dengan saya kerana pengalaman kami hampir-hampir sama juga.
Yang pasti, buku ini banyak mengajar saya agar sentiasa bersangka baik
dengan Allah dan banyakkan bersyukur di atas setiap nikmat yang Allah
berikan. Jangan sesekali mengeluh atau membanding-bandingkan kehidupan
kita dengan kehidupan orang lain kerana Allah tahu apa yang terbaik buat
diri kita.
Buku ini mengajar kita agar sentiasa bergantung kepada Allah dalam
apa jua keadaan dan situasi. Begitu juga dalam soal rezeki, bersangka
baik dengan Allah walaupun ketika kita sedang diuji dengan kesempitan
wang. Saya kongsikan salah satu kisah dari buku ini yang dihantar oleh
abang Nazali Noor yang merupakan seorang penulis buku Ulu Yam Di
Liverpool (UYDL), di mana beliau telah mendermakan not terakhir duit
yang ada di dalam dompetnya di masjid Penny Lane. Ketika itu abang
Nazali dan isteri sedang memerlukan duit untuk membeli tiket kapal
terbang bagi keluarga mereka pulang bercuti di Malaysia. Bukan sedikit
yang diperlukan kerana keluarga Abang Nazali yang besar paling kurang
pun memerlukan sejumlah 5 angka juga untuk tiket dan lain-lain
perbelanjaan.
Sesungguhnya Allah yang maha pemberi rezeki dan perancanganNya adalah
yang terbaik buat kita. Abang Nazali telah mendapat tajaan lokasi
penginapan dan juga duit royalti buku UYDL sebelum balik ke Malaysia.
Tengok? Bermulanya derma yang bernilai £20 yang ikhlas, Allah
kemudiannya memberi balasan berpuluh-puluh kali ganda terus kepada abang
Nazali. Hebat bukan?
Itu hanya satu kisah, bayangkan lagi ada 39 kisah yang pelbagai.
Memang tidak pernah jemu untuk membacanya kembali kerana ianya bagaikan
satu peringatan buat kita supaya sentiasa bersangka baik dan melakukan
kebaikan dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan dari Allah. Saya
masih ingat lagi buku MMR (Mudahnya Menjemput Rezeki) di mana ada
dikongsikan cara-cara untuk menjemput rezeki dan saya amalkannya. Masya
Allah, dengan kuasa Allah memang tak pernah putus rezeki yang Allah
hadirkan dalam hidup saya. Setiap hari ada sahaja tempahan dan pelanggan
yang ingin membeli. Apabila rezeki mula bertalu-talu masuk, saya jadi
sibuk. Terlalu sibuk sehingga kadang-kadang mula rasa tidak bersyukur
atau dalam erti kata lain tamak.
Perkongsian di dalam buku ini memang banyak membuatkan saya sedar
bahawa tak semestinya apa yang kita mahukan Allah akan beri dan tak
semestinya apa yang kita hajati Allah tidak akan tunaikan cuma faktor
masa sahaja yang menentukan. Yang penting, jangan berhenti untuk
berusaha kerana Allah mahu menilai apa yang kita telah usahakan selama
ini. Adakah secara bersungguh-sungguh atau sambil lewa sahaja?
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan buku ini. Boleh beli melalui Puan Anys Idayu Zakaria di sini : Anys Idayu Zakaria.
Semoga apa yang saya kongsikan di sini mendapat manfaat buat semua.
Insya Allah. Pesanan buat surirumah, jangan berhenti dalam menggali ilmu
kerana tanpa ilmu siapalah kita.
No comments:
Post a Comment